Tuesday, January 25, 2011

Bahaya kemewahan

Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk rnenambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

OIeh itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari harta benda dunia pada batas-batas keperluan.


Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Sekadar renungan dan ingatan untuk diri saya sendiri dan juga berkongsi pendapat dan ilmu yang ada...Umur dah meningkat, beberapa bulan lagi nak bertambah umur, kadang-kadang terfikir apa yang telah diusahakan oleh diri ini sebagai bekalan di sana nanti....

Membaca Al-Quran..itu antara perkara yang terbaik( pada pandangan saya) yang boleh kita lakukan untuk dijadikan bekalan. Tak perlukan modal, tak perlukan tenaga. Hanya perlukan tumpuan dan kesungguhan untuk membariskan huruf-huruf lalu melengkapkan ayat-ayat suci yang telah tertulis didalamnya...


Bersyukur dengan apa yang ada, tak perlu mengeluh ataupun keluh kesah. Seandainya kita memikirkan kita ini seorang yang susah ataupun tidak bernasib baik, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita. Seandainya kita berkata, kita tidak mampu untuk mengisi minyak kereta, kerana tidak mempunyai cukup wang, tapi masih ada lagi orang yang tak mampu untuk membeli susu untuk anak kecilnya sehinggakan meminta-minta kepada orang lain.


Tak perlu menyesal, tak perlu mengeluh. Rukun Iman telah tertulis, berimanlah kepada Qada dan Qadar. Lakukan yang terbaik, beramal selagi mampu dan berkesempatan. Walaupun tidak dengan harta, tapi cukuplah dengan kata-kata. Senyum!!! sudah dikira sebagai sedekah, tak perlu kita susah-susah....

1 comments:

Mouren said...

...senyum...

Post a Comment